Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 26 Mei. - Potensi karbon hutan Negara Brunei Darussalam (NBD) serta peluang untuk memperkembangkan pendekatan karbon hutan di peringkat bidang kuasa berintegriti tinggi menjadi tumpuan utama dalam Dialog mengenai Potensi Karbon Hutan Brunei 2026.
Dialog yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi British ke NBD dengan kerjasama Pengurusan Sumber-sumber Alam Sekitar (ERM) tersebut diadakan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.
Menghimpunkan wakil kerajaan, industri, rakan pembangunan serta pihak berkepentingan utama, dialog tersebut turut membincangkan hasil kajian mengenai syarat pemudah cara bagi inisiatif karbon hutan di NBD.
Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan berkata, dialog berkenaan menandakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan NBD bagi memperkukuhkan tindakan iklim, pemuliharaan hutan dan pembangunan mampan melalui penerokaan peluang pasaran karbon hutan berintegriti tinggi.
"NBD amat bertuah kerana diiktiraf sebagai sebuah negara 'High Forest Cover, Low Deforestation' dengan hutan tropika luas yang terus memberikan manfaat besar dari segi alam sekitar, sosial dan ekonomi.
"Hutan-hutan di negara ini memainkan peranan penting dalam pemuliharaan biodiversiti, daya tahan iklim, kawal selia air dan penyimpanan karbon termasuk dalam ekosistem hutan paya gambut dan bakau," jelas Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat, aset semula jadi tersebut merupakan teras kepada keutamaan pembangunan kebangsaan NBD dan secara langsung menyokong komitmen negara di bawah Dasar Perhutanan Negara Brunei Darussalam, Perjanjian Paris, Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei (BNCCP) serta Wawasan Brunei 2035 khususnya berkaitan kelestarian alam sekitar dan kepelbagaian ekonomi mampan.
Selaras dengan hala tuju dasar negara tersebut, tambah Yang Berhormat, kerajaan NBD sedang meneroka peluang untuk menyertai mekanisme karbon hutan melalui pendekatan bidang kuasa di bawah rangka kerja Architecture for REDD+ Transactions – The REDD+ Environmental Excellence Standard (ART-TREES) yang dianggap sesuai bagi negara-negara 'High Forest Cover, Low Deforestation' seperti NBD.
"Apa yang penting, kerajaan NBD melihat pembangunan kesiapsiagaan pasaran karbon hutan sebagai sebahagian daripada hala tuju dasar nasional yang lebih luas di bawah strategi perhutanan negara dan pemuliharaan biodiversiti, BNCCP serta Wawasan Brunei 2035.
"Oleh itu, inisiatif ini akan menyokong usaha berterusan ke arah mempertingkatkan pengurusan hutan secara mampan, memperkukuhkan tadbir urus iklim dan memajukan ekonomi yang berdaya tahan serta pelbagai," ujar Yang Berhormat.
Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke NBD, Tuan Yang Terutama Ken O'Flaherty, dalam ucapannya berkata, ketika banyak negara sedang berhadapan dengan kesan penebangan hutan dan kehilangan khazanah alam semula jadi, hutan-hutan di NBD dipelihara menerusi pandangan jauh, tadbir urus yang teliti serta komitmen negara terhadap pemeliharaan dan pengurusan alam sekitar.
Katanya, laporan kajian bertajuk 'Enabling Conditions to Implement Forest-Carbon Market in Brunei Darussalam' mengenal pasti langkah-langkah praktikal yang perlu diambil oleh NBD sekiranya negara ini ingin meneruskan penyertaan dalam pasaran karbon bidang kuasa berintegriti tinggi di bawah rangka kerja ART-TREES v2.0.
Proses tersebut, jelasnya, sememangnya bersifat teknikal, namun prinsipnya adalah negara-negara yang telah melindungi hutan mereka dan terus berbuat demikian seharusnya dapat mengakses pembiayaan iklim yang berwibawa secara telus, kukuh dan selaras dengan keutamaan negara.
"Bagi NBD sebagai sebuah negara 'High Forest Cover, Low Deforestation', peluang ini amat relevan," katanya.
Beliau berkata, laporan berkenaan berpotensi membantu menggerakkan pembiayaan bagi usaha pemuliharaan, menyokong kepelbagaian ekonomi secara mampan serta meletakkan negara-negara seperti NBD sebagai peneraju dalam menghargai alam semula jadi sebagai sebahagian daripada masa hadapan rendah karbon.
Acara diteruskan dengan pelancaran rasmi serta majlis penyerahan laporan kajian 'Enabling Conditions to Implement a Forest Carbon Market in Brunei Darussalam' yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke NBD kepada tetamu kehormat.
Kajian tersebut menggariskan laluan yang jelas dan berasaskan kepentingan negara bagi membolehkan NBD menukarkan rekod kukuh pemuliharaan hutannya kepada manfaat yang diiktiraf dalam bidang iklim, ekonomi dan pembangunan.
Kajian tersebut menunjukkan bagaimana hutan negara mempunyai kedudukan unik sebagai aset strategik bukan sahaja untuk mengekalkan perkhidmatan ekosistem, malah bagi memperkukuhkan daya tahan iklim serta membuka peluang baharu ke arah mencapai ekonomi mampan selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Program turut menampilkan pembentangan dapatan utama laporan, pandangan serta implikasinya terhadap NBD yang disampaikan oleh Charlie Knaggs iaitu rakan kongsi dari ERM yang bertanggungjawab bagi kajian berkenaan.
Pembentangan tersebut menggariskan pertimbangan dan peluang masa hadapan berkaitan pasaran karbon hutan termasuk sumber data dan maklumat yang digunakan dalam kajian berkenaan.
Acara diteruskan dengan sesi perbincangan panel bertajuk 'From National Strategy to International Alignment: Credibility and Integrity in Jurisdictional Forest Carbon', yang menampilkan Ketua Serantau Asia Tenggara bagi Alam Semula Jadi, Biodiversiti dan Lautan di Kedutaan British di Jakarta; Konsultan Utama dari ERM, Hari Priyadi; dan Konsultan Kanan dari ERM, Nadiah Kasmadi sebagai moderator.
Perbincangan tersebut meneroka peranan pendekatan karbon hutan di peringkat bidang kuasa dalam menyokong strategi iklim kebangsaan NBD, aspirasi kepelbagaian ekonomi, peluang pelaburan langsung asing hijau serta matlamat pembangunan mampan jangka panjang di bawah Wawasan Brunei 2035.
Dialog berkenaan diakhiri dengan pengiktirafan bersama mengenai kepentingan penglibatan berterusan antara agensi kerajaan, pakar teknikal, rakan antarabangsa dan sektor swasta bagi meneroka lebih lanjut potensi karbon hutan NBD dalam menyokong pembangunan mampan dan tindakan iklim.